Wednesday, September 10, 2008

Skuasy ada sebab ke Olimpik

Ratu skuasy negara dan juga selaku pemain No.1 dunia, Datuk Nicol David menjelaskan bahawa sukan skuasy mempunyai sebab kukuh untuk menjadi sebahagian daripada acara sukan pada Sukan Olimpik. Beliau telah merancang untuk menggunakan pengaruhnya bagi memastikan skuasy di senaraikan pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Oktober depan akan menentukan dua sukan baru yang akan disenaraikan pada Sukan Olimpik 2016. Antara sukan yang bersaing untuk mengisi dua slot itu termasuklah skuasy, golf, ragbi, karate, besbol, sofbol dan rollersports.

Sebelum ini, iaitu pada tahun 2005, beliau pernah melobi agar sukan tersebut dipertandingkan dalam Sukan Olimpik 2010 di London tetapi tidak berjaya. Sekarang, beliau telah bertekad untuk memastikan impiannya melihat sukan tersebut dapat dipertandingkan di sukan terbesar ini menjadi kenyataan.

Beliau berasa amat kecewa kerana sukan skuasy tidak dipertandingkan di Olimpik kerana ia merupakan penghargaan tertinggi bagi mana-mana atlet untuk setiap sukan berada di Olimpik.
Beliau juga mengandaikan bahawa jika sukan tersebut mendapat tempat di Olimpik, akan lebih banyak negara tampil menyokong majlis sukan bagi tujuan pembiayaan.

Saya setuju dengan tindakan Datuk Nicol untuk melobi agar skuasy dipertandingkan di Olimpik. Ini kerana banyak sukan raket seperti badminton, ping pong, dan tennis mendapat tempat di Olimpik. Sedangkan sukan seperti ini dapat dipertandingkan, apa salahnya sukan skuasy ini menjadi salah satu sukan di Olimpik akan datang kerana sukan ini juga adalah sukan bertaraf antarabangsa.

Diharapkan impian Datuk Nicol tercapai untuk menjadikan sukan skuasy mendapat tempat pada sukan Olimpik akan datang. Bukan sahaja Malaysia yang monopoli sukan ini tapi ramai lagi pemain skuasy yang hebat dan berkualiti dari pelbagai negara menonjol dalam sukan ini. Rasanya bukan Datuk Nicol sahaja yang inginkan sukan skuasy mendapat tempat di Olimpik tetapi pemain datri negara lain juga pasti mempunyai impian yang sama.

Walau apa pun, saya tetap menyokong Datuk Nicol David. Hidup Datuk Nicol David.
MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA & DUNIA!!!